KETUM KINI DOT COM

Ahad, 16 Mei 2021

Tiga bomba cedera, 30 rumah musnah dalam kebakaran

 

Kebakaran melibatkan 30 rumah atas air di Kampung Meruntum Putatan, Sabah semalam -GAMBAR IHSAN BOMBA


KOTA KINABALU : Tiga anggota bomba cedera dalam operasi memadam kebakaran membabitkan 30 buah rumah atas air di Kampung Meruntum, Putatan dekat sini petang semalam.

Dalam kejadian pada 5.30 petang itu, tiga anggota tersebut terkena sambungan elektrik semasa sedang melakukan operasi memadam kebakaran.

Ini adalah kebakaran kedua di daerah ini dalam tempoh kurang daripada sebulan. Kebakaran pertama yang berlaku di Kampung Dumpil memusnahkan 17 rumah setinggan atas air pada 22 April lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Md Ali Ismail berkata, kejadian itu tidak membabitkan kecederaan atau kemalangan jiwa dalam kalangan penghuni sebaliknya, ia hanya melibatkan kecederaan anggota bomba yang bertugas dalam operasi memadam kebakaran.

Kesemua anggota yang cedera itu sudah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) I dan HQE II untuk rawatan lanjut dan keadaan ketiga-tiga mereka stabil.

“Anggota yang mengalami kecederaan telah diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Operasi pemadaman itu melibatkan 25 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dan Penampang.

Operasi pemadaman api berjaya dikawal daripada terus merebak pada 8 malam dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Seorang saksi memaklumkan kebakaran berpunca dari sebuah rumah kira-kira 5.30 petang sebelum merebak dengan pantas disebabkan pembinaan struktur rumah yang di kawasan itu terlalu rapat.

Kampung Meruntum yang mempunyai 1,795 orang penduduk sebelum ini berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 13 hingga 26 April setelah wujud kluster Meruntum yang merekodkan 44 kes positif.- UTUSAN ONLINE

Serangan Zionis tanpa henti, ribuan penduduk Palestin tinggalkan kediaman

 

GAZA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan lebih 10,000 penduduk Palestin meninggalkan kediaman masing-masing selepas Israel terus melancarkan serangan udara dan darat tanpa henti sejak semalam.

Kebanyakan penduduk Palestin mendapatkan perlindungan di beberapa sekolah yang dibiayai PBB di utara Gaza.

Sehingga hari ini, sebanyak 126 penduduk Palestin terbunuh termasuk 31 kanak-kanak, manakala lebih 920 cedera.

Jumlah kematian dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa apabila serangan udara tentera Zionis mengenai sebuah kem pelarian di sini, menyebabkan tujuh maut termasuk enam kanak-kanak.

Insiden itu juga menyaksikan  sejumlah penghuni di kem pelarian tersebut terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

Biarpun mendapat gesaan antarabangsa supaya menghentikan serangan, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tetap dengan pendiriannya untuk meneruskan serangan terhadap kubu Hamas.

Beliau berkata, ‘kesemua serangan yang dilancarkan adalah satu keperluan bagi mengembalikan keamanan di Israel’.

Dalam pada itu, pertempuran antara tentera Zionis dan penduduk Palestin turut berlaku di Tebing Barat.

Sekurang-kurangnya 11 penduduk Palestin maut dalam pertempuran tersebut. – AGENSI

KETUM KINI DOT COM SUARA MEDIA TERKINI

Selamat Datang 
Welcome

1,099 bunuh diri sejak 2020 hingga Mei 2021 | Berita Harian

1,099 bunuh diri sejak 2020 hingga Mei 2021 | Berita Harian :  KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 631 kes bunuh diri sepa...